Perak merupakan antara salah satu negeri yang kaya dengan pelbagai sejarah dan lokasi percutianya yang menarik. Disini kami paparkan 10 Tempat Percutian Menarik di Perak pilihan The Kickster.
1. Pulau Pangkor
Pulau Pangkor merupakan antara tempat yang menarik dan selesa untuk anda bercuti bersama keluarga. Dua kawasan pantai yang terkenal iaitu Pasir Bogak dan Teluk Nipah menawarkan kepada peminat aktiviti laut seperti aktiviti menyelam, luncur angin dan memancing. Teluk Ketapang atau Teluk Penyu masih menerima kehadiran penyu untuk singgah bertelur. Beberapa resort di pulau itu juga mempunyai padang golf yang sangat baik di kawasan mereka.
2. Taman Rekreasi Air Panas Sungai Klah
Konsep unik yang direka khas bagi air mengalir dari mata air panas ke Kolam Renang dan Taman terapi di kaki Banjaran Titiwangsa berketinggian 200 kaki di atas paras laut sememangnya kejuruteraan yang kreatif untuk menarik pengunjung yang menghargai keajaiban semulajadi. Keluarga yang melawat taman itu boleh mencuba tempat mandi yang tersedia di sini bersama- sama keluarga. Satu lagi aktiviti terkenal yang harus dicuba ialah pengalaman merebus telur dalam air panas.
3. Hutan Simpan Belum
Hutan Simpan Belum memiliki kekayaan flora dan fauna dengan kawasan luas yang masih belum diterokai. Pelbagai pengusaha pelancongan kini menawarkan perkhidmatan lawatan berpandu ke kawasan-kawasan tertentu rizab dan akan menguruskan permit yang diperlukan, pengangkutan jalanraya dan sungai dan penginapan, termasuk perkhemahan. Kehadiran spesies mamalia besar seperti gajah, badak sumbu, tapir dan harimau menjadikan Hutan Simpan Belum sangat istimewa.
4. Gua Tempurung
Gua ini mungkin merupakan gua batu kapur semulajadi terbesar di Semenanjung Malaysia. Terdiri daripada lima bentuk kubah besar yang siling atasnya berbentuk tempurung kelapa, setiap satu kubah mempunyai pelbagai bentuk stalagmit dan stalaktit. Kubah-kubah ini juga berbeza di antara satu sama lain dari segi suhu, paras air, kandungan batu kapur dan marmar.
5. Bukit Larut
Mencapai ketinggian 1250 meter di atas paras laut, tempat yang paling basah di Malaysia, dengan hujan tahunan yang melebihi 500sm. Suhu udara di sini adalah sekitar 15 darjah celsius pada awal pagi dan lewat petang, mencecah sehingga 10 darjah celsius pada malam hari. Pada hari yang cerah, anda boleh melihat pesisiran pantai semenanjung dan Selat Melaka, menjangkau sehingga ke Pulau Pinang di utara dan Pulau Pangkor di selatan. Pemandangan yang indah dapat dilihat di siang hari, dan kelihatan mempesonakan pada waktu malam.
6. Kompleks Sejarah Pasir Salak
Kompleks Sejarah Pasir Salak memberi penghormatan kepada pahlawan-pahlawan seperti Dato' Sagor dan Dato' Maharaja Lela. Terdapat memorial yang didirikan untuk menghargai pengorbanan mereka, dalam bentuk sundang (pedang), satu replika berbentuk pisau yang digunakan dalam pembunuhan Mr. Birch. Tarikan lain di kompleks itu adalah Monumen J.W.W. Birch, kubur Sipuntum, kubu Datuk Maharaja Lela, meriam Lela Rentaka yang digunakan dalam penentangan terhadap tentera penjajah British, dan dua Rumah Kutai (rumah tradisi Perak) dipenuhi dengan artifak sejarah dan budaya tempatan.
7. Taman Tasik Taiping
Taman yang dibina di atas lombong bijih timah terbiar ini telah dibuka pada tahun 1880, menjadikan ia sebagai taman awam pertama di Tanah Melayu ketika itu, taman ini memiliki sepuluh tasik dan kolam yang indah, Kolam Teratai, jambatan yang mempesonakan, trek untuk berjoging serta refleksologi, semuanya dikelilingi oleh tanaman tropika, bunga-bungaan, pokok dan hidupan liar. Untuk kanak-kanak, terdapat gelanggang bermain kasut roda, bot kayuh, dan taman permainan yang pasti mengembirakan anak-anak anda.
8. Menara Condong Teluk Intan
Keunikan menara ini adalah ia menyerupai Menara Pisa, Itali. Menara ini dibina pada tahun 1885. Ia memiliki ketinggian setiggi 85 kaki dan ada 110 anak tangga. Walaupun telah berusia lebih 100 tahun, ia masih berdiri kukuh. Bangunan tiga tingkat ini dilengkapi dengan jam besar. Kini menara ini tidak digunakan lagi dan hanya menjadi tarikan pelancong yang mengunjungi bandar Teluk Intan.
9. Taman Orang Hutan, Bukit Merah
Pulau Orang Utan yang yang seluas 35 ekar ini merupakan pusat perlindungan, pembiakan, pengekalan, penyelidikan dan pendidikan Orang Utan.Para pelancong diberi peluang untuk melihat orang utan ini melakukan aktiviti harian mereka melalui terowong sangkar besi sepanjang 100 meter. Pulau Orang Utan ini merupakan sebahagian dari pusat Peranginan Laketown Bukit Merah yang turut memiliki taman air dan ekologi.
10. Lost World Of Tambun
Salah satu tarikan terbaru yang pastinya menggamit anda untuk datang ke Perak. Lost World Of Tambun merupakan salah sebuah taman temai air yang dilengkapi dengan pelbagai tempak rekreasi serta taman ekologi. Di sini anda boleh mencuba pelbagai aktiviti-aktiviti menarik yang disediakan oleh pihak Lost World Of Tambun. Merupakan salah satu destinasi wajib jika anda berkunjung ke Perak.
Sememangnya Perak merupakan antara pilihan terbaik anda untuk bercuti bersama keluarga. Rancang percutian anda bersama keluarga.